Idea 10 Sumber Pendapatan Untuk Wanita Selepas Bersara


Kini, wanita bersara sudah tidak lagi mengira umur. Diikutkan umur bersara pilihan atau bersara wajib ialah pada umur 50 tahun ke atas. Namun ada antara wanita telah 'bersara' lebih awal daripada itu kerana telah berhenti kerja lebih awal daripada umur sebenar persaraan. Ini mungkin disebabkan pelbagai faktor.

Apabila bersara, tiada lagi sumber pendapatan tetap. Bagaimana hendak meneruskan hidup jika tiada sumber pendapatan atau pendapatan semakin berkurangan? Di sini disenaraikan 10 sumber pendapatan selepas bersara buat wanita di Malaysia. Senarai ini merupakan pemerhatian dan pengalaman sendiri kerana pernah tergolong daripada mereka yang bersara awal.

Dengan teknologi masa kini, semuanya di hujung jari sahaja:

  1. Sumber pendapatan daripada produk makanan yang dibuat sendiri
  2. Sumber pendapatan daripada menjahit
  3. Sumber pendapatan melalui kraftangan
  4. Sumber pendapatan melalui berkebun
  5. Sumber pendapatan daripada jualan produk
  6. Sumber pendapatan daripada aktif di dalam kelab/kumpulan/persatuan
  7. Sumber pendapatan melalui jualan bahan kitar semula
  8. Sumber pendapatan melalui menjaga anak
  9. Sumber pendapatan melalui mengajar
  10. Sumber pendapatan daripada internet


1. Sumber pendapatan daripada produk makanan yang dibuat sendiri
Wanita boleh menghasilkan produk makanan sendiri. Ahli keluarga AA kebanyakannya ada membuat dan menjual makanan. Antara makanan yang dihasilkan ialah :

a. Rempah bubur pedas : Ibu AA membuat rempah bubur pedas. Rempah ini mendapat permintaan yang tinggi pada bulan puasa.

b. Belacan : Ibu saudara AA ada yang membuat belacan pada musim udang. Belacan yang dibuat sendiri ini biasanya habis dijual di kalangan saudara-mara. Belacan daripada udang segar memang sedap. Bila tahu musim udang dah tiba, ibu saudara akan menerima tempahan belacan daripada saudara-mara termasuk daripada AA.

c. Rempeyek : Ibu saudara ada yang membuat dan menjual rempeyek. Rempeyek ini akan dihantar ke mini mart di hospital berdekatan.


d. Keropok ikan : Mertua AA ada membuat keropok ikan. Pada musim ikan banyak dan harga ikan murah, ibu mertua akan buat keropok. Keropok ini biasanya habis dijual kepada jiran-jiran.

e. Aiskrim : Ibu saudara AA ada membuat dan menjual aiskrim di rumah. Aiskrim antara produk tidak bermusim. Sentiasa ada permintaan.


2. Sumber pendapatan daripada menjahit
Wanita bersara juga boleh menjana pendapatan daripada bidang jahitan. Boleh menjahit pakaian atau langsir.

a. Menjahit baju kurung dan baju melayu : Ibu AA ada menjahit baju kurung dan baju melayu. Dia tidak menerima tempahan pakaian lain. Tempahan paling banyak bila musim raya hampir tiba. Adik AA juga ada menjahit baju kurung kanak-kanak.

b. Menjahit langsir : Ibu saudara AA ada mengambil upah menjahit langsir. Menjahit langsir juga bermusim, pendapatan lebih tinggi berbanding menjahit pakaian biasa. Di samping menjahit langsir, dia juga menjahit baju kurung dan baju melayu.


3. Sumber pendapatan melalui kraftangan
Wanita bersara boleh menambah sumber pendapatan melalui kraftangan. Tidak semestinya kita membuat dan menjualnya. Banyak jenis kraftangan yang boleh dihasilkan mengikut kreativiti kita. Jika tiada kemahiran, boleh ambil kursus untuk belajar membuat kraftangan. Antara kraftangan yang pernah AA lihat dibuat untuk menambah pendapatan ialah beg anyaman dan tikar anyaman.

a. Beg anyaman : Kakak ipar AA mendapat upah untuk membuat beg anyaman. Tempahan akan mengikut keadaan. Tetapi hampir sepanjang tahun akan ada tempahan. Bahan-bahan disediakan oleh pemilik, kakak ipar hanya buat beg anyaman. Beg siap, upah dapat.

b. Tikar anyaman : Ibu mertua AA juga ada mendapat tempahan untuk membuat tikar anyaman. Konsep yang sama juga. Bahan-bahan pemilik yang sediakan. Tikar siap, upah dapat.


4. Sumber pendapatan melalui berkebun
Kata orang, tidak rugi berbakti pada tanah. Nenek AA seorang yang suka berkebun. Dia tiada mendapat pendapatan daripada aktiviti ini. Tetapi bagi AA, jika dipraktikkan oleh kita boleh juga menambah sumber pendapatan. Kebun nenek ada di depan rumah. Kebun kecil, tempat mengeluarkan peluh. Biasanya hasil kebun kecil ini, nenek akan sedekahkan kepada jiran-jiran.

AA pernah juga menyewa di kawasan perumahan kaum cina. Ada seorang nenek memang suka berkebun. Hasil kebun ini, dia akan jual dengan menaiki basikal. Kebun sayur di belakang rumah :).


5. Sumber pendapatan daripada jualan produk

Menjual produk memang terbukti boleh menambah pendapatan. Bergantung kepada kita produk yang ingin dijual.

a. Jual kain pelikat/ kain sarung : Ibu mertua AA ada menjual kain pelikat atau kain sarung dari Serikin. Ini semasa suami masih bertugas di Sarawak. Suami akan beli kain pelikat dalam kuantiti yang banyak di Serikin, dan ibu mertua akan jual di kampung. Ibu mertua hanya jual di rumah. Jiran-jiran yang ingin membeli akan berkunjung ke rumah.


6. Sumber pendapatan daripada kelab/kumpulan/persatuan

Apabila bersara, banyak masa terluang. Ramai wanita akan terlibat dengan kelab, kumpulan atau persatuan. Melalui kumpulan ini juga boleh menambah pendapatan.


a. Kumpulan marhaban : Ibu AA dan ibu saudara terlibat aktif dalam kumpulan marhaban. Apabila ada majlis di kampung, kumpulan mereka akan dipanggil untuk memeriahkan lagi majlis. Mereka tidak pergi dengan tangan kosong. Ada hadiah dan saguhati berupa duit akan diberikan. Ibu AA selalu dapat kain dan tudung.


7. Sumber pendapatan melalui jualan bahan kitar semula
Wanita bersara juga boleh menambah pendapatan melalui jualan bahan kitar semula. Masa yang terluang boleh digunakan untuk mencari bahan-bahan yang tidak digunakan lagi di rumah. Rumah bersih, duit dapat. AA perhatikan di sesetengah tempat ada lori yang akan mengambil bahan-bahan yang boleh dikitar semula ini. Gunakan peluang ini untuk menambah sumber pendapatan.

a. Jual semula suratkhabar/majalah/kertas : Pertama kali menjual bahan kitar semula ialah kertas-kertas A4 yang tidak digunakan dan suratkhabar lama. Tengok jiran sebelah selalu jual bahan kitar semula teringin juga nak mencuba. Kuantiti yang di jual tak sebanyak mana. Untuk kali pertama dapat RM0.30, tetapi tauke yang beli bahan kitar semula beri RM1.00. Hehe, katanya kerana ini pertama kali... Lain kali boleh jual lagi.

b. Jual semula kotak-kotak : Sekiranya anda pernag berpindah-randah. Jadi selepas berpindah akan banyak kotak-kotak ynag tidak digunakan. Nak simpan, ruang tak mencukupi. Jadi anda boleh jual kotak-kotak untuk kitar semula.

c. Jual semula barang elektrik yang telah rosak : Barang elektrik yang telah rosak pun diterima untuk dikitar semula bergantung kepada pembeli. Ini disebabkan tidak semua bahan di dalam peralatan elektrik boleh dikitar semula.

d. Jual semula botol plastik atau kaca : Botol plastik seperti botol air mineral boleh dikitar semula. Botol kaca ada yang boleh dikitar semula, ada yang tidak. Ini bergantung kepada pembeli bahan kitar semula.


8. Sumber pendapatan melalui menjaga anak

Menjaga anak orang lain juga merupakan salah satu cara untuk menambah pendapatan bagi wanita yang telah bersara. Menjaga seorang anak sekitar RM250-RM450 bergantung kepada tempat dan permintaan. Tarik nafas dengar nilai yang diberikan. Menjaga anak bukanlah sesuatu yang mudah. Wanita yang sudah berusia kadang-kadang agak kurang sesuai menjaga anak orang lain, kerana menjaga anak ini perlukan tenaga. Namun setiap orang ada pilihan masing-masing. Wanita berusia kaya pengalaman, wanita muda kaya tenaga.


9. Sumber pendapatan melalui mengajar

Wanita bersara boleh menambah pendapatan melalui mengajar.

a. Mengajar mengaji : Bagi wanita yang mempunyai kepakaran dalam mengaji, disamping menyebar ilmu agama mereka turut mendapat menambah pendapatan. Di kampung mertua, ada seorang makcik yang mengajar mengaji. Umurnya mungkin lebih kurang sama dengan ibu mertua. Rajin ke masjid dan sebelah siang dia akan mengajar anak-anak kampung mengaji.


10. Sumber pendapatan daripada internet
Penggunaan internet di Malaysia semakin berkembang. Dari hari ke hari semakin ramai yang melayari internet. Salah satu lagi cara untuk menambah pendapatan ialah melalui internet. Ramai wanita turut berjaya menambah sumber pendapatan melalui internet.

a. Menulis blog : AA gemar menulis di blog. Salah satu cara memperolehi pendapatan melalui blog ialah meletak iklan di blog. Program yang AA sertai lebih dikenali sebagai Program Pay Per Click Nuffnang. Setiap kali ada orang klik iklan, AA akan dapat duit.

b. Jual produk secara online : AA juga ada menjual produk secara online. Produk makanan seperti serunding dan udang salai. Produk ini AA pastikan ada dalam stok, baru AA jual.

c. Dropship : Perniagaan dropship ialah menjual produk fizikal orang lain seperti tudung dan baju muslimah. Kita dapatkan tempahan, kemudian penghantaran akan dibuat oleh pemilik tudung atau baju muslimah. Dropship memerlukan komitmen masa kerana kita akan sentiasa berhubung dengan dua pihak hampir setiap hari, berhubung dengan pembekal dan pelanggan. Bagi wanita bersara mungkin ini peluang untuk anda.

Sebenarnya terdapat banyak cara lagi untuk menambah pendapatan melalui internet.

Melalui pembacaan, banyak cara bagi wanita yang sudah bersara boleh menambah pendapatan. Ini hanyalah serba sedikit cerita daripada pengalaman dan pengalaman orang di sekitar kita.
 
Copyright © 2006 Faezah Smith - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info